Sekolah Menengah Agama
(P) Al Mashoor mula diasaskan atas kesedaran segolongan bangsa Arab di
Pulau Pinang yang bimbang akan anak-anak yang kurang mendapat didikan
agama. Pada tahun 1916 bersamaan tahun 1335H, suatu mesyuarat telah
diadakan khusus mengenai penubuhan sebuah sekolah agama. Dengan usaha
gigih dan semangat kerjasama semua pihak maka tertubuhlah sebuah sekolah
agama yang dikenali dengan nama Madrasah Al-Quran di Lebuh Acheen
(Masjid Melayu Pulau Pinang) dengan guru pertamanya Al-Syed Abdul Rahman
Alhabshee dan guru besar pertamanya Al-Syed Al-Shaikh Al-Hadi. Madrasah
ini terus mendapat sokongan yang menggalakkan dan pada tahun 1918 telah
berpindah ke kawasan yang lebih besar di Kampung Jawa Lama, dengan nama
Madrasah Al Mashoor Al-Islamiah sempena nama Tuan HAbib Al Mashoor,
seorang penghulu yang terkenal di Pulau Pinang pada masa itu.
Pada tahun 1920,
Madrasah ini telah berpindah ke Lebuh Tek Soon di mana tapak sekolah
adalah kepunyaan tuan Haji Bachik. Pada masa ini perkembangan sekolah
berlaku dengan pesat sekali dan yuran sebanyak RM2 dikenakan kepada
setiap pelajar. Semasa pemerintahan Jepun, Madrasah Al Mashoor telah
ditutup selama 3 tahun 8 bulan dan dibuka kembali pada tahun 1945
setelah setelah British kembali ke Tanah Melayu. Usaha-usaha berterusan
dijalankan untuk mendirikan bangunan baru bagi sekolah dan asrama untuk
pelajar lelaki dan perempuan. Pada tahun 1957, sempena kunjungan YTM
Tunku Abdul Rahman ke Madrasah Al Mashoor, beliau telah berjanji akan
mendirikan bangunan baru bagi kedua-dua buah sekolah .
Sebuah jawatankuasa
binaan telah ditubuhkan dan mereka telah bekerja keras untuk penubuhan
sekolah baru. Waris-waris Almarhum Tuan K.M.S Sultan Alaudin mewakafkan
sekeping tanah dan rumah di Jalan Lunas bagi tapak sekolah perempuan.
Pada tahun 1979 Kementerian Pelajaran telah mengambil alih Madrasah Al
Mashoor lelaki dan perempuan dan telah mendirikan sebuah bangunan baru
di Jalan Air Itam untuk pelajar lelaki. Selepas tiga tahun kerajaan
mengambil alih SMKA (P) Al Mashoor, ada cadangan untuk membina bangunan
baru bagi menggantikan bangunan lama yang telah uzur dan tidak dapat
menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah. Sementara menanti
bangunan baru siap, pelajar-pelajar telah menumpang di SMKA (L) Al
Mashoor dari tahun 1982 hingga tahun 1984. Pada bulan Oktober 1984 para
pelajar perempuan mula berpindah ke bangunan baru dan tersergamlah
bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Perempuan) Al Mashoor di
Medan Lim Cheng Teik, Pulau Pinang.
No comments:
Post a Comment